Hari ni aku siarkan semula artikel dari Utusan Malaysia. Aku
tak payah komen panjang-panjang. Artikel tu sendiri dah cukup jelas dan padat!
Politik
'hit & run' pembangkang
KHABARNYA di Lembah Pantai, Kuala Lumpur sekarang, pakatan
pembangkang semakin tak senang duduk. Panas punggung. Dikatakan mereka cuba
mencari banyak isu untuk memastikan rakyat termasuk pengundi Lembah Pantai
tidak sempat melihat kebaikan program atau produk-produk yang diutarakan
kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam setahun dua ini untuk rakyat.
Tambah terkejut lagi dia dan orang-orangnya ialah apabila
pertemuan dialog yang diatur oleh kepemimpinan BN Wilayah Persekutuan disambut
baik oleh penduduk Bangsar dan sekitar Lembah Pantai.
Pada 19 Jun lalu sekitar pukul 8 malam, kira-kira 50 warga Bangsar
yang terdiri daripada golongan profesional termasuk doktor, arkitek dan
jurutera hadir dalam pertemuan santai dengan Timbalan Pengerusi BN Wilayah
Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Devi's Corner,
Jalan Telawi.
Dikatakan di pihak sebelah sana pada siangnya mula cuak. Cuba
'dipancingnya' menerusi panggilan telefon kepada pihak restoran supaya jangan
'entertained' perjumpaan itu - batalkan sahaja tempahan ruang pertemuan. Tapi,
semua tak menjadi. Akhirnya pertemuan berlangsung.
Setengah jam perjumpaan ia dipenuhi tuntutan penjelasan beberapa
isu-isu 'panas' yang dimomokkan pembangkang. Isu NFC dan melibatkan fitnah dan
dakwaan terhadap Perdana Menteri dan keluarganya dijawab dengan cermat oleh
Nong Chik. Penjelasan demi penjelasan diberikan Menteri Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar itu.
Jawapan dan penjelasan yang diberikan mendapat maklum balas yang
baik daripada kalangan profesional berkenaan. Setelah hampir tiga jam bertemu
dan setelah kelibat Nong Chik hilang dari pandangan mereka, seorang penduduk
menyapa seorang pegawai khas Nong Chik.
"Ya, dia memang different dari apa yang Nurul (Izzah)
cakapkan," katanya.
Sebenarnya dalam beberapa tahun ini di banyak kawasan dalam
Wilayah Persekutuan, pembangkang meletakkan satu stigma kepada penduduk
termasuk pengundinya bahawa pemimpin BN sukar didekati. Paling mengecewakan
lagi apabila pembangkang memomokkan kepada penduduk terutama bukan Melayu
bahawa UMNO disokong oleh tiga golongan. Pertama, oleh orang-orang tua Melayu
subsidi dan golongan mat rempit dan samseng serta NGO-NGO yang ultra Melayu
khususnya Pekida dan Perkasa. Pembangkang menambah lagi stigma itu yang
seolah-olah parti mereka sahajalah disertai profesional.
Cuma, sesuatu yang terlepas pandang yang boleh dipelajari daripada
'perwatakan' pembangkang di Lembah Pantai oleh kepemimpinan BN ialah
'kesanggupan wakil mereka mendengar rintihan penduduk tanpa perlu berbuat
apa-apa pun untuk menyelesaikan permasalahan itu.'
"Kalau kita tengokpun 'dia' hanya datang di sini untuk
mendengar keluhan penduduk dan lepas itu lesap begitu sahaja.
"Taktik yang digunakan juga mudah ... mula-mula 'dia' akan
suruh orang-orangnya ambil gambar jalan berlubang di satu-satu tempat, kemudian
hantar (MMS) kepadanya, dan kemudian 'dia' akan 'reply' sms dengan mengatakan
'DBKL akan settlekan' atau 'tq DBKL'. Tanpa berurusan dengan DBKL pun, 'dia'
dengan gaya psiko menggunakan jalan pintas sebegitu," kata seorang
penduduk yang ditemui penulis di sebuah flat berdekatan loji kumbahan di Lembah
Pantai Khamis lalu.
Realitinya, taktik 'bashing' itulah yang digunakan pakatan
pembangkang di seluruh negara waktu ini.
Dan hakikatnya juga, dalam pertemuan dengan wakil pembangkang,
penduduk kebiasaannya bukan nakkan jawapan kepada penyelesaian masalah setempat
mereka. Tetapi nakkan seseorang yang boleh mendekati mereka dan meluahkan apa
yang terbuku di jiwa. Inilah yang dikatakan silent majority atau pengundi 'atas
pagar'. Kumpulan seperti ini tidak dapat meluahkan apa yang dilihat dalam
Internet sebaliknya menterjemahkan rasa hati mereka dalam bentuk undi dalam
pilihan raya.
Bila geram, mereka akan undi pembangkang. Macam wakil-wakil
pembangkang di kawasan tertentu, mereka akan menerapkan unsur kebencian rakyat
kepada BN dan UMNO. Ia 'dipasak-pasak' dalam hati penduduk. Sebab pembangkang
tahu BN tidak akan meletakkan calon-calon bebas masa pilihan raya nanti.
"Macam bertemu dengan Datuk Nong Chik tempoh hari, penduduk
berkenaan tahu bahawa kalau isu keselamatan, sudah tentunya ia di bawah
tanggungjawab polis, jalan pecah dan rosak urusan DBKL. Mereka juga tahu bahawa
BN tidak wajar dipersalahkan dalam soal semua ini.
"Sudah pasti selain penduduk berkenaan tahu Datuk Nong Chik
mampu membawa isu-isu ini ke pihak atas, namun perkara pokok yang mereka
hendakkan ialah meluahkan apa yang ada dalam hati mereka dengan bersemuka
dengan Datuk.
"Mereka merasakan diri begitu dihargai," kata seorang
pegawai Nong Chik.
Dan pembangkang sememangnya seperti mana yang ketara dalam
akhbar-akhbar tanpa permit KDN, mereka akan sentiasa meletakkan pemimpin
kerajaan termasuk menteri dalam keadaan perlu menjawab. Mereka sentiasa
'menyerang' manakala di pihak kerajaan pula sentiasa dalam situasi hendak
pertahankan.
Namun dalam banyak insiden ketika ini di Lembah Pantai,
pembangkang dalam keadaan tersepit.
Dalam dia memperlekehkan mat-mat rempit, mereka menggerakkan pula
program memberi topi keledar percuma kepada penunggang motosikal di tepi jalan
perumahan pantai Permai dekat sebuah stesen minyak baru-baru ini. Mulanya
dicadangkan 300 topi keledar. Tetapi setelah melihat sambutan cukup hangat
dalam 100 pemberian pertama, program dihentikan. Kemudian habis di'tweet'
bahawa kira-kira '300 topi keledar telah diberi, sambutan sangat hebat. Inilah
taktik program 'hit & run' pembangkang.
Khamis lalu itu penulis sempat meninjau selama tiga jam di sekitar
Bangsar dan Lembah Pantai. Di suatu hentian bas dekat Angkasapuri, penulis
disuakan dengan sekeping risalah. Pendek sahaja ungkapannya.
"BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) kali kedua, jangan lepaskan
peluang terus sapu kerana itulah duit kita sebenarnya. Ayuh! kita makankan
UMPANnya. Tapi AWAS! jangan terkena pancingnya."
Itulah taktik 'hit & run'. Memang gaya pembangkang, mereka
suka 'hit & run' sesuatu isu atau cakap begitu begini. Tetapi akhirnya
tidak berani beri fakta, bukti serta angka yang mereka dakwa sebelum ini.
Banyak sudah bukti Anwar Ibrahim bercakap menuduh itu dan ini, tetapi bila
diminta bukti, jawapan 'tunggu'. Dan selalunya rakyat tertipu kerana sampai
'kucing bertanduk' pun bukti yang dia janjikan, tidak muncul-muncul juga.
Apa yang boleh diambil iktibar daripada pertemuan Nong Chik dengan
kira-kira 50 penduduk Bangsar tempoh hari ialah perlunya kepemimpinan BN
memecahkan stigma yang sedang dan telah 'digarap' oleh pembangkang. Yakni, BN
takut berbincang atau berdialog dengan masyarakat.
Sebenarnya, adalah lebih baik lagi jika wakil rakyat atau menteri
berkenaan menghubungi terus penduduk yang hendak dibawa berdialog. Ini bagi
memastikan sifat kepunyaan penduduk terhadap wakil rakyat mereka.
Wilayah Persekutuan tidak mahu wakil rakyat yang mahu tumpang
semangkuk dengan sekadar mendengar rintihan rakyat. Dan tidak tahu atau gagal
menyelesaikan permasalahan itu.
Lebih buruk lagi apabila menuding jari kepada pihak lain untuk
menutup kelemahan yang ada.