|
Pengundi Bangsar Cina, India & Melayu bangkit menyelar Nurul Izzah yang menuduh mereka pengundi hantu. |
Apa
kecoh-kecoh ni Nurul Izzah, anak kesayangan Anwar Ibrahim?
Mula-mula
dulu aku ingat Nurul Izzah hanya tuduh bekas setinggan sahaja sebagai pengundi
hantu. Rupa-rupanya penghuni kawasan elit Bangsar pun jadi mangsa tuduhan
pengundi hantu!
Yang
paling lawaknya, yang dituduh tu bukan orang sebarangan, tetapi Setiausaha
Persatuan Penduduk Bangsar Baru, Prem Kumar!! Bila ditanya kepada Nurul Izzah,
Nurul kata semua pengundi hantu ni dia tak jumpa sebab alamat tak lengkap.
Nurul,
Prem Kumar dilahirkan di Bangsar, dibesarkan di Bangsar dan dah laaaaamaaaa
jadi Setiausaha Persatuan Penduduk Bangsar Baru. Macam mana kau tak kenal dia
ya?
Hek
eleh… Nurul, kau tu dah jadi wakil rakyat 5 tahun, orang yang aktif macam Prem
Kumar pun tak boleh cari? Nampak sangat kau jarang turun padang, kalau tak,
mustahil kau tak kenal Prem Kumar!!
Boleh
baca sendiri Kenyataan Media dari NGO GEMPUR tentang isu ni.
KENYATAAN MEDIA NGO GEMPUR
‘GERAKAN MENCARI PENGUNDI ASAL LEMBAH PANTAI’
ISU PENGUNDI HANTU DI BANGSAR
2 MEI 2013
Sebagaimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, pada
22 Mac 2013 Nurul Izzah telah memfailkan semakan kehakiman menuntut SPR untuk membatalkan
pendaftaran 4,637 pengundi Lembah Pantai yang disifatkan oleh Nurul Izzah
sebagai pengundi hantu kononnya kerana alamat kediaman mereka tidak lengkap
atau tidak wujud.
Walaupun semakan kehakiman asal Nurul Izzah telah
ditolak, kami terkejut apabila mengetahui Nurul Izzah akan memfailkan semula
rayuan terhadap keputusan asal mahkamah. Kami amat bimbang dengan perkembangan
terbaru ini dan khuatir ianya akan menjejaskan hak pengundi Lembah Pantai untuk
mengundi.
Pihak GEMPUR telah dibekalkan oleh sumber dari PKR
sendiri senarai pengundi hantu yang telah dikemukakan ke Mahkamah oleh Nurul
Izzah untuk dibatalkan hak mereka untuk mengundi. Walau bagaimanapun, senarai
yang dikemukakan tidak lengkap. Hanya 1,700 nama sahaja berada dalam senarai
tersebut. Sehubungan dengan itu, kami mencabar Nurul Izzah untuk mengemukakan
senarai penuh kesemua 4,637 pengundi hantu Lembah Pantai agar semua pengundi
Lembah Pantai boleh menyemak senarai berkenaan bagi memastikan mereka tidak
tersenarai sebagai pengundi hantu.
Bagi membantu pengundi Lembah Pantai menyemak sama ada
nama mereka tersenarai sebagai pengundi hantu, kami telah mewujudkan laman
Facebook di alamat https://www.facebook.com/WeAreLembahPantai yang
menyenaraikan kesemua 1,700 nama yang ada pada kami. Para pengundi Lembah
Pantai digesa menyemak status mereka di situ.
Sebelum ini pihak kami lebih banyak membuat semakan di
kawasan-kawasan bekas setinggan bagi mencari pengundi Lembah Pantai yang
dituduh sebagai pengundi hantu. Adalah dimaklumkan sehingga kini, dalam masa 2
minggu sahaja, kami telah berjaya menemui 500 penduduk Lembah Pantai yang
dituduh sebagai pengundi hantu.
Walau bagaimanapun, setelah meneliti senarai pengundi
hantu Nurul Izzah, kami dapati Nurul Izzah turut menyenaraikan
pengundi-pengundi di kawasan elit seperti Bangsar sebagai pengundi hantu.
Mulai 2 hari yang lepas kami telah membuat semakan
bagi pengundi di lokaliti di Bangsar Baru sahaja dan daripada 52 nama yang tersenarai di Bangsar Baru kami telah berjaya
mengesan lebih 25 pengundi yang disenaraikan sebagai pengundi hantu oleh
Nurul Izzah.
Nurul Izzah sebelum ini telah mencabar Dato’ Raja Nong
Chik untuk menjelaskan bagaimana GEMPUR boleh mencari pengundi-pengundi hantu
ini sedangkan PKR telah berusaha selama 4 tahun untuk mencari mereka tetapi
gagal.
Saya petik cabaran Nurul
Izzah melalui Setiausaha Politik beliau yang disiarkan menerusi artikel
bertajuk “PKR Says 5,000 ‘Dubious’ Lembah Pantai Voters Unverifiable, Not
Squatters”, yang disiarkan di Malaysian Insider bertarikh 30 April 2013.
"In four years, we have tried to meet the voters but the addresses
are incomplete. We ask Umno in the spirit of democracy to please share their
tactic, how can they find out where these voters are staying?"
Kami bukan UMNO tapi kami akan jawab cabaran Nurul
Izzah.
Bagaimana cara kami menemui pengundi-pengundi Lembah
Pantai yang dituduh sebagai pengundi hantu? Mudah sahaja Nurul. Buat kerja,
jangan hanya kuat cakap sahaja. Jalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Turun padang. Bergaullah dengan rakyat jelata. Apabila kita kenal rakyat, mudah
sahaja untuk mencari mereka bila nama mereka tersenarai sebagai pengundi hantu.
Contoh paling mudah ialah Encik Prem Kumar. Nurul
Izzah telah menyenaraikan nama Encik Prem Kumar sebagai pengundi hantu. Prem
Kumar dilahirkan dan dibesarkan di Bangsar selama 37 tahun. Beliau bergiat
aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan di Bangsar dan telah menjadi
Setiausaha Persatuan Penduduk Bangsar Baru selama beberapa tahun. Sehingga kini
beliau masih lagi Setiausaha Persatuan Penduduk Bangsar Baru. Nurul Izzah telah
menjadi wakil rakyat selama 5 tahun. Selepas 5 tahun menjadi wakil rakyat,
kalau orang yang begitu aktif dan tersohor di kawasan Bangsar seperti Prem
Kumar pun Nurul Izzah tidak kenal, maka tidak hairanlah jika rakyat marhaen
seperti penduduk bekas kawasan setinggan pun Nurul Izzah tidak kenal!
Insiden ini jelas menunjukkan Nurul Izzah jarang turun
padang dan tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat malah dengan
sewenang-wenangnya telah menganiaya penduduk Lembah Pantai dengan cuba
membatalkan hak mereka untuk mengundi di dalam pilihan raya.
IZWAN MEGAT
NITESH MALANI
CHRIS DANIEL
(Sekretariat GEMPUR)