Tuesday, November 13, 2012

PAS: DILUAH MATI EMAK, DITELAN MATI BAPAK



Apa kecoh-kecoh ni PAS?

Tadi aku baru lepas baca satu analisa dalam the Star bertajuk PAS Walking A Narrow Path. Isinya padat dan memang kena dengan situasi semasa, apatah lagi dengan kenyataan murtad Nurul Izzah masih menjadi bualan hangat umat Islam.

Kalau nak baca versi Inggeris, boleh terus baca di Star, tapi di sini aku terjemahkan untuk bacaan rakan-rakan.

PAS kini berada dalam dilema dengan muktamar beberapa hari sahaja lagi.

Komen kontroversi Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mengenai "kebebasan beragama" bukan sahaja meletakkan Pakatan Rakyat di dalam dilema tetapi ia juga menyebabkan PAS dalam keadaan tertekan untuk memastikan undi umat Islam tidak terus terhakis.

Komen Nurul Izzah mengenai "kebebasan beragama untuk semua", yang dibuat pada sebuah forum di sebuah gereja di Subang Jaya, walaupun mendapat sokongan padu oleh bukan Melayu, merupakan kesilapan besar dari sudut umat Islam yang konservatif, yang membentuk sebahagian besar penyokong PAS.

Walau bagaimanapun, komen Nurul Izzah adalah selaras dengan sokongan bapanya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) terhadap fahaman pluralisme agama (prinsip bahawa semua agama adalah sama tarafnya) yang telah mencetuskan bangkangan keras daripada ulama Islam yang menganggap fahaman pluralisme sebagai tidak Islamik dan sesat.

Komen beliau telah meletakkan PAS di dalam keadaan yang amat tertekan dan datang pada masa yang penting apabila parti itu sedang bersedia untuk Muktamar ke 58 di Kelantan pada hujung minggu ini.

Muktamar ini adalah yang terakhir sebelum pilihan raya umum dan PAS mahu menonjolkan imejnya yang terbaik.

PAS mahu menunjukkan kepada penyokong akar umbi bahawa ia kekal komited kepada Islam dan ahli mahu melihat parti itu kembali bertapak sebagai pembela agama Islam sejati, sebagaimana prinsip PAS selama ini.

Komen Nurul telah membuka ruang untuk PAS menerima serangan bertalu-talu dari para ulama  ekoran sikap mereka menyokong kenyataan Nurul Izzah yang membayangkan bahawa dengan kebebasan beragama untuk semua, umat Islam juga boleh menukar agama mereka sesuka hati.

Salah seorang pengkritik beliau yang paling keras ialah bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, yang berkata bahawa komen Nurul Izzah bermaksud orang Melayu perlu diberi kebebasan untuk menukar agama mereka.

"Apabila Allah telah memutuskan tentang iman, Syariah dan moral, kita (orang Islam) tidak mempunyai hak untuk memilih atau mempertikaikannya.

"Hak kami hanya untuk mendengar dan taat sebagaimana yang dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran," katanya.

Sokongan umat Islam adalah tulang belakang kepada PAS tetapi sokongan ini semakin pudar, bukan sahaja kerana sokongan berterusan PAS terhadap parti sekular DAP, tetapi juga kerana PAS dilihat sebagai sering beralah dalam hal-hal yang melibatkan kedaulatan Islam di mana sebahagian besarnya disebabkan oleh tekanan dari DAP juga.

Sumber asal kekuatan PAS ialah pegangan teguh mereka terhadap prinsip-prinsip Islam yang menyaksikan mereka memenangi undi konservatif di kawasan pedalaman Melayu luar bandar, tetapi sejak kemenangan pada tahun 2008 PAS telah berubah arah dan mengambil pendirian yang lebih liberal.

Ini adalah kerana ia berharap untuk memerintah negara satu hari nanti dan menyedari bahawa ia memerlukan sokongan bukan Islam untuk berbuat demikian.

Tetapi strategi untuk memuaskan golongan bukan Islam semakin memakan diri apabila PAS terus kehilangan undi Melayu.

PAS juga sering mengelakkan isu-isu sensitif yang boleh menyebabkan perselisihan dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat, khususnya DAP, ekoran takut kehilangan undi.

PAS kini semakin diasak untuk menolak komen "kebebasan beragama" Nurul atau berhadapan risiko terus kehilangan sokongan pengundi Islam.

PAS terus tersepit dengan muktamar hanya beberapa hari sahaja lagi.

Di sebelah pihak ialah puak Anwarinas dalam PAS yang mahu memancing undi bukan Islam dan di pihak yang lain adalah penyokong akar umbi PAS sendiri yang mahu Nurul dicela dan komen beliau ditolak.

PAS kini berada di persimpangan dilema.

Ia mahu menyokong fahaman pluralisme agama dan memenangi hati pengundi bukan Islam tetapi takut akan tindak balas orang Islam, bukan sahaja dari golongan ulama tradisional tetapi juga dari akar umbinya sendiri.

PAS tidak mahu sokongannya terus merudum di kalangan pengikut akar umbi yang sudah lama resah dengan kerjasama PAS dengan DAP yang sekular dan pakatan dengan PKR, di mana pemimpinnya Anwar Ibrahim secara terbuka menyokong fahaman pluralisme agama.

Kenyataan Nurul Izzah mengenai "kebebasan agama untuk semua" telah merumitkan lagi keadaan untuk PAS.

Aku nak tengok juga macam mana Muktamar PAS ni akan berlangsung. Adakah PAS akan terus menjadi parti bacul yang tunduk kepada DAP dan PKR walaupun agenda mereka jelas anti-Islam?

Sama-samalah kita lihat.

Apa kecoh-kecoh ni PAS?

1 comment:

  1. Mari lah kita semua berdao moga d dalam Muktamar PAS ini , parti berkenaan membuka hati dan mneyeru ahli-ahli mereka agar dapat bersatu dibawah satu parti payung Melayu iaitu UMNO. Lagi pula tidak salah sekiranya kita terus berdoa dan berdoa agar kepimpinan PAS menghukum Pakatan dengan menarik diri dari terus bersekutu dengan DAP dan PKR serta mengambil jalan terbaik untuk rujuk kembali dan bekerjasama dengan Barisan National . Aminnn

    ReplyDelete